Untuk makluman, aktiviti ternakan babi adalah di luar Kawalan Akta Kualiti Alam Sekeliling, AKAS 1974. Aktiviti ternakan babi di Melaka hanya dibenarkan oleh Kerajaan Negeri Melaka beroperasi di Kampung Paya Mengkuang, Daerah Alor Gajah, Melaka.
Terdapat 36 penternak babi di kawasan ini dengan jumlah ternakan dianggarkan 48,000 ekor babi. Kebanyakan penternak babi masih menjalankan aktiviti ternakan secara konvensional dan hanya menyediakan kolam takungan air buangan dari kandang babi. Sungai Tuang adalah sungai yang menerima buangan dari tempat ternakan babi tersebut.
JAS telah menjalankan pengawasan kualiti air sungai untuk mengenal pasti perubahan pada kualiti air sungai di Melaka. Berdasarkan pengawasan yang dilakukan, Indeks Kualiti Air Sungai Tuang ini adalah Kelas IV yang hanya sesuai untuk tujuan pengairan sahaja.
Berdasarkan pemeriksaan in-situ yang dijalankan pada 23 Mac lalu, bacaan DO berada dalam Kelas V dan ini menunjukkan kualiti air Sungai Tuang berada dalam keadaan tercemar.
Beberapa agensi terlibat dalam menangani isu pencemaran Sungai Tuang melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan, NBOS iaitu Majlis Perbandaran Alor Gajah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka, Badan Kawal Selia (BKSA) Jabatan Ketua Menteri Melaka dan juga JAS.
Penyelarasan antara agensi ini diketuai Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Negeri Melaka, Datuk Hasan Rahman melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pencemaran Sungai Tuang, Melaka.

NURAZIATUL AIDA ISMAIL
Unit Pemantauan Tindakan & Susulan Aduan Berulang Bahagian Penguat kuasa JAS